Tuesday, January 18, 2011

ASEAN Jadi Tuan Rumah Piala Dunia 2030?

Singapura - Malaysia pencetus idea...KEJOHANAN bola sepak Piala Dunia berlangsung di rantau ini?

Ini mungkin menjadi satu kenyataan kelak kerana negara- negara Asean sedang menyiapkan saranan kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk menjadi tuan rumah bersama kejohanan Piala Dunia 2030. Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura semalam, saranan agar Asean menganjurkan pertandingan berprestij itu ialah bagi membantu pertubuhan itu menjadi lebih dekat dengan rakyatnya.
'Menteri-menteri luar Asean telah membincangkan kemungkinan menawarkan diri menjadi tuan rumah Piala Dunia Fifa,' ujar MFA dalam kenyataannya. Difahamkan bahawa para menteri luar Asean yang sedang bermesyuarat di Lombok, Indonesia, akan mengemukakan pelan rasmi berhubung perkara itu bagi diluluskan oleh para pemimpin negara-negara anggota apabila mereka bertemu di Jakarta pada 7 dan 8 Mei. Idea agar Asean menjadi hos bersama Piala Dunia 2030 pertama kali disarankan Malaysia sewaktu mesyuarat menteri luar di Hanoi, Vietnam, pada Julai tahun lalu. Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, menawarkan untuk membincangkan idea itu dengan badan sukan negara itu. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pula melahirkan sokongan bagi saranan itu. Sewaktu mesyuarat menteri kewangan Asean di Kuala Lumpur, idea itu dibangkitkan Menteri Kewangan Thailand, Encik Korn Chatikavanij, dan ia diterima oleh rakan-rakan negara Asean yang lain. Menteri Luar Singapura, Encik George Yeo, telah menyarankan agar Malaysia bekerjasama dengan Sekretariat Asean di Jakarta bagi membentangkan saranan konkrit yang boleh dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin Asean bagi kelulusan terakhir. Brazil akan menjadi hos Piala Dunia pada 2014, disusuli Russia pada 2018 dan Qatar pada 2022. Hos bagi kejohanan itu pada 2026 dan 2030 belum ditentukan. Sumber Asean memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa usaha agar Asean menjadi hos Piala Dunia berupaya membangunkan identiti Asean. 'Ini merupakan usaha membangunkan masyarakat. Ia dapat membangkitkan semangat belia. Ia dapat melibatkan rakyat. Ia akan menjadi rangsangan kepada imaginasi Asean,' ujar sumber itu. Sekretariat Asean akan menjemput pakar dan persatuan bola sepak dari rantau ini bagi membantu Asean melakar strategi bagi bidaan menganjurkan Piala Dunia 2030.

3 comments:

mie said...

wow!!
menarik ni..
ada peluang nak ergi...
ehehee

E.d.Y said...

2030..lamanya lg

shahsyaz said...

huhuhuhu, biar betik...


tp mse tuh aku dh umo...

22+19 = 48..

alah, nk dekat umo 50 an..