Thursday, January 1, 2009

Keputusan UPSR Sains & Matematik Hanya Indah Khabar Dari Rupa

Keputusan UPSR 08 sudah pun diumumkan baru-baru ini. Pencapaian bagi semua mata pelajaran termasuk Sains dan Matematik menunjukan prestasi calon UPSR begitu memberangsangkan. Tahniah kepada anak-anak yang berjaya dengan cemerlang dalam UPSR.
 
Isu terkini yang dilihat semakin hangat ialah berkaitan dengan PPSMI yang telahpun dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu. Banyak pihak menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris.

Pada hakikatnya itulah yang sebenarnya masalah anak-anak kita di sekolah yang melaluinya sendiri bagaimana sukarnya mereka hendak memahami dan menguasai subjek tersebut dalam Bahasa Inggeris sedangkan semua pihak tahu bahawa dua subjek ini sememangnya antara subjek yang sukar tetapi penting kepada mereka kerana kedua-dua subjek ini adalah subjek killer terutamanya kepada anak-anak luar bandar.

Berdasarkan keputusan UPSR yang telah diumumkan, ternyata seolah-olah subjek Sains dan Mate tidak membawa masalah kepada calon-calon UPSR kerana peratus menguasai subjek tersebut menunjukkan anak-anak kita begitu berjaya, malah bilangan calon cemerlang juga tetap ramai. Apa yang sebenarnya berlaku kepada anak-anak kita di sekolah adalah tidak sama dengan keputusan UPSR. Jika kita perhatikan keputusan Peperiksaan berdasarkan sekolah, kedua-dua subjek ini ternyata tidak memuaskan. Pada masa sekarang pelaksanaan peperiksaan untuk murid-murid Tahun Enam di sekolah, kebanyakan soalan-soalan yang disediakan adalah setara di seluruh negeri . Namun apabila analisis dibuat, keputusan keseluruhan membuktikan purata pencapaian Sains dan Matematik anak-anak kita amat lemah sekitar 20 - 50 % lulus menguasai bagi sekolah-sekolah di luar bandar terutamanya. Itu pun soalan disediakan dalam dwi bahasa ( Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris). Ini membuktikan keputusan sains dan mate dalam UPSR agak meragukan mungkin kerana faktor politik dan bisnes.Kalau tidak percaya tanyalah guru-guru di sekolah. Jangan tanya guru-guru PPSMI kerana mereka mendapat elaun BISP 10% daripada gaji mereka.

Justeru, sebelum masalah ini berlarutan dan memberikan kesan negatif kepada anak-anak kita, seharusnya pihak-pihak yang bertanggungjawab, tidak perlulah asyik mengkaji lagi isu ini. Tamatkan sahaja pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Menyusahkan saja. Bukan saja kepada murid-murid tetapi juga kepada guru dan ibu bapa kerana tidak dapat membantu anak-anak mereka mengulangkaji di rumah disebabkan masalah bahasa. Jika matlamat utama pengajaran Sains dan Mate dalam bahasa Inggeris semata-mata untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anak kita, lupakanlah. Lebih baik jika subjek bahasa Inggeris itu sendiri yang perlu diberi perhatian. Sebagai contoh jumlah waktu bahasa Inggeris di tambah selain kecekapan dan kemahiran guru bahasa Inggeris di beri perhatian. Dengan ini murid -murid tidak lagi dibebani dengan masalah bahasa, akibatnya subjek yang mudah menjadi susah. Semua pun jadi susah hati melihat pencapaian anak-anak yang sememangnya menjadi harapan semua tidak kesampaian.

Utamakanlah bahasa Kebangsan kerana bahasa merupakan alat komunikasi utama rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum. Perpaduan terjalin kerana bahasa Melayu. Negara maju tidak semestinya kerana bahasa Inggeris. Rakyat pandai dan bijak bukan kerana bahasa Inggeris. Pencapaian Ilmu pengetahuan dan ilmu akademik sesuatu bangsa akan dihormati dan dipandang tinggi bukan kerana bahasa Inggeris tetapi keupayaan sesuatu bangsa menguasai sesuatu ilmu itu yang menjadi kayu pengukur dan menggunakannya untuk kemajuan, kesejahteraan dan perpaduan .