Wednesday, December 22, 2010

Ritma Jantung Tidak Normal Dan Strok

Salah satu jenis penyakit jantung ialah apa yang disebut sebagai atrial fibrillation (AF) iaitu keadaan ritma jantung yang tidak normal.  Ia menyebabkan degupan jantung tidak tetap - sama ada terlalu cepat atau terlalu perlahan.  Keadaan ini boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap strok atau angin ahmar.

Menurut perangkaan, sehingga kini, tiga juta manusia di seluruh dunia menghidap strok yang berkaitan dengan AF setiap tahun.  Seorang daripada setiap empat orang berusia 40 tahun ke atas pula didapati akan mengalami AF dalam hayat mereka, menjadikan penyakit ini jenis masalah ritma jantung tidak normal yang paling biasa dihidapi di seluruh dunia.
Namun, kajian-kajian menunjukkan bahawa strok yang berkaitan dengan AF boleh dicegah dengan menjalani diagnosis dan rawatan awal.
APAKAH 'ATRIAL FIBRILLATION'?
AF terjadi apabila isyarat-isyarat elektrikal pada jantung 'terbabas' lalu menyebabkan atria (ruang atas jantung) mengecut dengan cepat dan tidak tetap.
Ini menyebabkan darah berkumpul di atria  kerana degupan tidak tetap itu hingga menyebabkan darah tidak dipam ke ventricle (ruang bawah jantung), lalu menghalang jantung daripada berdegup dengan baik.

Ramai orang yang menghidap AF tidak menunjukkan tanda-tanda, terutama jika kadar degupan jantung mereka tidak begitu pantas.
Namun, tanda-tanda yang lazim termasuk berdebar-debar, pening, sakit dada dan tercungap-cungap.
Adalah penting mengesan AF secepat mungkin oleh doktor kerana keadaan ini boleh membawa kepada strok.

Untuk meningkatkan kesedaran tentang AF, satu kempen global dipanggil 1 Mission 1 Million - Getting to the Heart of Stroke (Satu Misi Satu Juta - Menjurus Kepada Masalah Strok) telah diadakan untuk mengelak kejadian strok di seluruh dunia.
Kempen ini disokong oleh Persekutuan Jantung Sedunia (WHF), Persatuan Atrial Fibrillation (AFA), Persatuan AntiCoagulation Europe (ACE) dan Gabungan Stroke Alliance For Europe (SAFE), dan ditaja oleh syarikat ubat-ubatan Boehringer Ingelheim. 

KAITAN AF DAN STROK
Strok terjadi dalam kes AF apabila darah berkumpul di jantung kerana ruang atas jantung tidak mengecut dengan betul.

Ini menyebabkan darah melekat di ruang ini dan menjadi titik-titik beku yang masuk ke dalam saluran darah dan menyekat pengaliran darah ke otak, menyebabkan strok.
Strok adalah serangan pada otak yang menyerupai serangan jantung. Otak kita perlu mendapat bekalan darah untuk ia berfungsi dengan baik.
Jika pengaliran darah ke otak tersekat oleh darah beku, otak akan hilang tenaga dan bekalan oksigen, menyebabkan kerosakan otak serta lumpuh dan maut.

AF merupakan salah satu risiko penting mendapat strok. Malah, pesakit AF berisiko lima kali untuk mendapat strok berbanding mereka tanpa masalah itu.
Rawatan yang diberikan untuk AF ialah 'mencairkan darah' melalui perubatan antitrombotik dan juga rawatan untuk menormalkan ritma degupan pantung. [sumber : cyberita.asia1.com.sg]

2 comments:

ashrafi said...

Strok: Langsung terkenangkan ibu. Semoga diberikan kesembuhan.

Zetchi Henry said...

salam ziarah!
jom lihat entri terbaharu saya!
anda telah di tag!
maklumat lanjut,
layari http://www.zetchixy.blogspot.com