Subscribe Us

Masalah Bilangan Rakaat Sembahyang Tarawih


Banyak keterangan yang berlainan mengenai bilangan rakaat sembahyang tarawih.  Tetapi menurut yang telah dipilih dan diamalkan oleh jumhur ulama' dari kalangan mazhab Syafi'i, Hanafi dan Hanbali ialah dua puluh rakaat berdasarkan amalan sahabat-sahabat Nabi dalam zaman Saiyidina Umar r.a, seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:


63- عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانُوا يَقُومُونَ على عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةٍ. (رواه البيهقي)

63- Dari Al-Sa'ib bin Yazid r.a, katanya: "Mereka (sahabat-sahabat Nabi) biasanya mengerjakan sembahyang tarawih dalam bulan Ramadhan - pada zaman Saiyidina Umar bin al-Khattab,  sebanyak dua puluh rakaat ..."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Baihaqi)


Imam Baihaqi r.a.h., menyebutkan sebuah hadith lagi yang diriwayatkan oleh Imam Malik, rahimahullah dan Yazid bin Ruman katanya: "Biasanya orang ramai mengerjakan sembahyang tarawih dalam bulan Ramadhan - pada zaman Saiyidina Umar r.a., sebanyak dua puluh tiga rakaat .." (Hadith Mursal).


Dalam ulasannya, Imam Baihaqi berkata:  Kedua-dua hadith yang tersebut (tidak bercanggah) malah boleh disatukan kerana mereka mengerjakan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat (seperti yang tersebut dalam hadith yang pertama), kemudian mereka mengerjakan sembahyang witir tiga rakaat (seperti yang tersebut dalam hadith yang kedua).(2)
____________________________

1. Al-Sunan al-Kubra (2:495).
2. Al-Majmu' (3 : 486).


Sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat ialah pilihan mazbab Syafi'i, Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadith yang tersebut.


Menurut mazhab Maliki pula, pada mulanya sembahyang tarawih dikerjakan sebanyak dua puluh rakaat juga, kemudian ditambah enam belas rakaat disertakan dengan tiga rakaat sembahyang witir - yang menjadikan jumlahnya: Tiga puluh sembilan rakaat. (Bidayat al-Mujtahid, 1:210).
  
Masalah Lapan Rakaat

Menurut setengah ulamak, rahimahullah, sembahyang tarawih boleh dikerjakan sebanyak lapan rakaat dan boleh dikerjakan sebanyak dua puluh rakaat.

Mengenai lapan rakaat, mereka menerangkan:  Menurut beberapa buah Hadith Sahih,  Rasulullah s.a.w. mengerjakan sembahyang tarawih sebanyak lapan rakaat disertakan dengan tiga rakaat sembahyang witir. 


Dalam pada itu, kata mereka lagi: Menurut Hadith Sahih(1), sahabat-sahabat nabi telah mengerjakannya sebanyak dua puluh rakaat, dalam zaman Saiyidina Umar r.a.(2)


Ada pula segolongan kecil yang terdorong membid'ahkan amalan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat yang termaklum, kerana kata mereka: Hadith yang menjadi dalilnya bukan Hadith Sahih. 


Demikian dakwaan mereka yang nyata bertentangan dengan apa yang difaham oleh alim ulama'.


Ahli fiqah dan ahli hadith yang masyhur, yang menegaskan bahawa hadith yang tersebut ialah "Hadith Sahih" dan mereka menyajikannya dalam kitab-kitab mereka sebagi dalil bagi sembahyang tarawih sebanyak "dua puluh rakaat" yang mereka amalkan.


Di antaranya ialah:

(1) Imam al-Syafi'i rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya "Al-Umm" (1:142), bahawa beliau lebih suka mengerjakan dua puluh rakaat (sembahyang tarawih) berdasarkan hadith yang menerangkan amalan Saiyidina Umar (dan sahabat-sahabat Nabi s.a.w. pada zamannya).


(2) Imam al-Nawawi rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya "Al-Majmu'" (3:485), bahawa menurut mazhab Syafi'i, bilangan rakaat sembahyang tarawih ialah dua puluh rakaat dengan sepuluh salam,  selain daripada (tiga rakaat) sembahyang witir dan bahawa hadith yang menjadi dalilnya ialah Hadith Sahih.(3)


Demikian juga yang diterangkan oleh alim ulama' yang lain dalam mazhab Syafi'i, dalam kitab-kitab masing-masing sama ada yang berbahasa Arab atau yang berbahasa Melayu.


Kalau kita rujuk kepada kitab-kitab fiqab dalam mazhab Hanafi pula, kita akan dapati keterangan yang sama dalam masalah ini. Misalnya:


(1) Al-'Alamah Syamsuddin al-Sarkhasi rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya, "Al-Mabsut" (2:144): Bahawa menurut mazhab Hanafi,  bilangan rakaat sembahyang tarawih (yang menjadi pilihannya) ialah dua puluh rakaat.


(2) Al-'Alamah Ibn `Abidin rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya "Hasyiah Radd Al-Muhtar" yang lebih terkenal dengan nama "Hasyiah Ibn `Abidin" (2:45): Bahawa bilangan rakaat sembahyang tarawih (yang menjadi pilihan mazhab Hanafi) ialah dua puluh rakaat.


(3) Al-'Alamah Badr al-Din Mahmud al-'Aini rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya "Al-Binayah fi Syarh al-Hidayah" (2:583): Bahawa bilangan rakaat sembahyang tarawih (yang menjadi pilihan mazhab Hanafi) ialah dua puluh rakaat dan bahawa hadith riwayat Imam Baihaqi yang menjadi dalilnya adalah Hadith Sahih.


Demikian juga yang ditegaskan dalam kitab-kitab fiqah dalam mazhab Hanbali Di antaranya:


Al-'Alamah Maufiq al-Din Abdullah bin Ahmad bin Qudamah rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya "Al-Mughni" yang lebih terkenal dengan nama "Al-Mughni Ibn Qudamah" (1:797): Bahawa bilangan rakaat sembahyang tarawih yang menjadi pilihan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, ialah dua puluh rakaat, lalu menyebutkan beberapa hadith yang menjadi dalilnya. Di antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang tersebut.


Bukan setakat itu sahaja bahkan kalau kita rujuk kepada kitab-kitab hadith secara khusus,  kita akan dapati keterangan yang jelas bahawa hadith Imam Baihaqi yang menjadi dalil sembahyang tarawih dua puluh rakaat adalah Hadith Sahih.


Di antara ahli-ahli hadith yang menerangkannya dalam kitab masing-masing ialah:


(1) Al-'Alamah Syihab al-Din Ahmad bin Muhammad al-Qastalani rahimahullah menerangkan dalam kitabnya "Irsyad al-Sari, Li Syarh Sahih Al-Bukhari" (3:426): Bahawa hadith riwayat Imam Baihaqi yang tersebut adalah Hadith Sahih.


(2) Al-'Alamah Badr al-Din al-'Aini, rahimahullah menerangkan dalam kitabnya "`Umdah al-Qari, Syarh Sahih al-Bukhari" (7:178): Bahawa hadith riwayat Imam Baihaqi yang tersebut adalah Hadith Sahih.


(3) Al-'Alamah Ali bin Sultan Muhammad al-Qari rahimahullah, menerangkan dalam kitab "Mirqat al-Mafatih, bi Syarh Misykat al-Masabih" (2:175): Bahawa hadith riwayat Imam Baihaqi yang tersebut adalah hadith sahih.


(4) Al-Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya "Al-Fath al-Rabbani, Li Tartib Musnad al-Imam Ahmad al-Syaibani" (5:17): bahawa hadith riwayat Imam Baihaqi yang tersebut adalah Hadith Sahih.


(5) Al-Syeikh Mansur Ali Nasif rahimahullah, menerangkan dalam kitabnya" Al-Taj al-Jami' lil Usul,  fi Ahadith al-Rasul" (2:66): Bahawa hadith riwayat Imam Baihaqi yang tersebut adalah Hadith Sahih.


Dengan ini nyatalah bahawa menurut pengakuan dan amalan alim ulama' ahli hadith dan ahli fiqah yang masyhur, meliputi imam-imam mujtahidin yang menjadi ikutan, bahawa hadith yang menjadi dalil bagi sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat adalah Hadith Sahih.


Dan dengan ini juga nyatalah anggapan "segolongan kecil" yang cuba melemahkannya - apalagi membid'ahkannya - tidak memberi kesan sedikit pun.


Kesimpulannya: Sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat ialah "Sunat sahabat-sahabat Nabi" kerana ia telah di kerjakan oleh Saiyidina Umar dan sahabat-sahabat Nabi yang ada pada zamannya - termasuk Saiyidina Uthman dan Saiyidina Ali r.a. ajma'in.


Bertambah pula telah sabit dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan (Maksudnya): "Hendaklah kamu menurut sunnah Ku dan sunnah khalifah-khalifah al-Rasyidin .. (4) (yang datang kemudian daripada Aku)." Yakni amalan mereka.

Sembahyang Tarawih Yang Sempurna
Alim ulama', rahimahullah, tidak ketinggalan daripada mengingatkan dan menarik perhatian umum,  bahawa sembahyang tarawih yang sempurna dan berpahala ialah yang dikerjakan dengan tenang dan khusyu', sempurna bacaannya dan sempurna segala-galanya sesuai dengan dasar "ihsan" yakni segala amal bakti hendaklah dikerjakan dengan sebaik-baiknya.
________________________________
1. Yakni Hadith Sahih riwayat Imam Baihaqi rahimahullah.
2. Fiqh al-Sunnah (1:206) dan Al-Fath al-Rabbani (5:15).
3. Yakni riwayat Imam Al-Baihaqi dan Al-Sa'ib bin Yazid r.a Nas hadith ini dan terjemahannya telah disebutkan dalam bahagian yang lalu.
4. Muqaddimah Mastika Hadith (31).
[sumber: dipetik dpd JAKIM]

Catat Ulasan

3 Ulasan

mira_nas berkata…
20 or 8...mana2 pon boleh..
jika imam buat 20..kita solat lah ikut hingga 20..
jika imam buat 8 je..solat la sampai 8..
ikut imam hingga habis insyaAllah pahalanya sama seperti melakukan solat malam(qiamullail)
Tanpa Nama berkata…
yup..dua2 pn boleh ni kan? sunnah nabi, dan amalan sahabat2 nabi..ikut aje la imam tu..
emzex zain berkata…
tak payah la nak pertikai 20 atawa 8. kalau tak buat langsung tu yang perlu dipertikaikan.

masalah ni masalah khilaf ulama sahaja.saya setuju dgn pendapat amira tu...