Wednesday, August 11, 2010

Asal Mulanya Sembahyang Tarawih

Asal mulanya diterangkan dalam hadith yang berikut
61- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ. (رواه البخاري)

61- Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. - pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar (1) lalu sembahyang di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.  Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersembahyanglah bersama-sama Baginda.
Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang-orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu sembahyang dengan diikuti oleh sidang jamaah.
 Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh.  Setelah selesai sembahyang, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya:

"Amma Ba'du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) itu
akan difardhukan atas kamu(2), maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya."

(Imam al-Zuhri, salah seorang rawi hadith ini berkata): "Maka wafatlah Rasulullah s.a.w sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian" (tidak dikerjakan dengan berjamaah).(3)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.
_______________________


1. Rumah Baginda s.a.w. berdekatan dengan masjid. 


2. Yakni Baginda bimbang akan turunnya wahyu yang mewajibkannya. Dalam sebuah hadith yang lain Baginda menyuruh orang ramai supaya mengerjakan sembahyang sunat pada waktu malam di rumah masing-masing.


3. Fath al-Bari (5:158)

Keadaan ini berjalan terus sehinggalah dalam zaman Saiyidina Umar r.a., baharulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saiyidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:



62- عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ. (رواه البخاري)

62- Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan,  saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid,  tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saiyidina Umar berkata:  "Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam,  tentulah amalan itu amatlah baiknya."

Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Setelah itu, saya mengiringi Saiyidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka (yang tersebut).
(Melihatkan yang demikian) Saiyidina Umar berkata:  "Amalan ini satu perbuatan bid'ah yang baik ..."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulama' rahimahullah, bahawa kalimah "bid'ah yang baik" yang disebutkan oleh Saiyidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai "sembahyang tarawih dengan berjamaah" setelah ia menjadi khalifah Islam.

Dalam hadith ini diterangkan: Pada suatu malam Saiyidina Umar bersama-sama dengan seorang pengiringnya telah pergi ke masjid Nabi s.a.w. di Madinah,  lalu dilihatnya orang ramai sedang mengerjakan sembahyang tarawih dengan berpecah-pecah kepada beberapa kelompok di sana-sini. Ada yang sembahyang seorang diri, ada dua tiga orang yang menurut seorang imam dan ada pula yang lebih daripada itu menurut imam yang lain.


Melihatkan yang demikian, Saiyidina Umar pun mengarahkan mereka semuanya supaya menurut seorang imam yang dilantik olehnya mulai malam itu dan supaya mereka meneruskannya di sepanjang-panjang bulan Ramadhan.
Menurut huraian ulama' Saiyidina Umar rahimahullah,(2) bertindak demikian setelah ia berijtihad dan beristinbat berdasarkan amalan Rasulullah s.a.w.

Pertama - Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan sembahyang tarawih dengan berjamaah di masjid.

Kedua - Sungguhpun Baginda mengerjakannya dengan berjamaah selama tiga malam sahaja lalu memberitahu kepada orang ramai supaya masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian di rumah dan Baginda sendiri juga mengerjakannya di rumah sehingga akhir hayatnya - tetapi Baginda telah menerangkan sebabnya kepada umum iaitu Baginda "bimbang akan turun wahyu yang mewajibkan sembahyang tarawih itu" jika Baginda terus menerus mengerjakannya dengan berjamaah di masjid bersama sama dengan mereka.

Berdasarkan hakikat inilah Saiyidina Umar r.a., berijtihad mengarahkan supaya sembahyang tarawih dikerjakan semula dengan berjamaah, kerana perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. dahulu tidak akan berlaku. Kerana setelah Baginda wafat, tidak akan turun wahyu lagi - yang mewajibkannya.

Saiyidina Umar mengaku bahawa arahannya itu "bid'ah" tetapi ia "bid'ah yang baik" (bid'ah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijma' oleh sahabat-sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi oleh umat Islam turun temurun.

No comments: