
Oleh Saini Salleh [cyberita.asia1.com.sg]
APA
yang ada pada wanita-wanita di Batam yang menyebabkan ramai kaum Adam
Singapura jadi tergila-gila hingga sanggup hilang anak, isteri dan
saudara.APA
yang ada pada wanita-wanita di Batam yang menyebabkan ramai kaum Adam
Singapura jadi tergila-gila hingga sanggup hilang anak, isteri dan
saudara.
Bila pergi, macam-macam alasan diberi kepada isteri seperti mesyuarat,
jalankan perniagaan, jumpa pelanggan dan macam-macam lagi.
Tidak berani pula kata kepada isteri bahawa mereka ke sana untuk makan angin, keluar dengan kawan- kawan atau mencari hiburan.
Bukan lagi rahsia - ramai yang sudah menggigit jari akibat dikeruk
habisan-habisan oleh kekasih atau isteri yang dinikahi secara sulit. Ada yang sanggup melambakkan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang sepatutnya digunakan sebagai payung sebelum hujan.
Sesetengahnya 'parut' ATM dan kad kredit untuk membeli cinta monyet akibat pandang pertama. Tetapi, habis duit abang melayang. Lebih sedih lagi, ada yang meninggal ketika 'buat kerja' dalam hotel! Yang pulang hanyalah tubuh mereka yang sudah dibungkus dengan kain kapan.
Bagi si wanita Batam pula, kebanyakan janda muda, suami-suami Singapura
yang mudik ke sana membawa durian runtuh yang tidak pernah mereka
impikan selama hidup mereka. Kesempatan tersebut mereka gunakan untuk
hidup senang lelang.
Bukan juga satu rahsia - ramai wanita berstatus janda di Batam yang
dulunya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang di kawasan
lampu merah, kini memiliki rumah gedung dan rantai emas berjuntai di
leher dan gelang berderet di lengan dek mempunyai suami atau kasih Pak
Dolar (Julukan bagi lelaki Singapura). Isteri di Singapura pula disuruh 'pakai dulu bayar kemudian' seperti
bak kata pepatah kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar
kelaparan.
Sebagai wartawan yang pernah membuat liputan lelaki Singapura melencong
ke Batam, pertama kali didedahkan dalam 1991, pulau yang diberi julukan
Bila Anda Tiba Anda Menyesal, memang syurga dunia bagi lelaki yang
menggatal atau sudah padam cinta terhadap isteri yang semakin berkerut
dan berbabat perutnya.
Dalam kebanyakan lelaki itu, mereka menyalahkan isteri kerana tidak
lagi dapat memuaskan nafsu serakah mereka kerana terlalu sibuk dengan
cucu atau sudah putus haid.
Malah, dalam satu kes terbaru yang dilaporkan minggu lalu, sang suami
sanggup menyeberang ke Batam dan menikahi seorang janda kerana mendakwa
isterinya, seorang karyawan komputer, tidak menyiapkan sarapan setiap
pagi.
Berasaskah sebab musabab yang diberikan suami yang sudah mempunyai tiga anak itu?
Tetapi, pengalaman saya ketika merungkai kes suami Singapura membuka
cawangan di Batam menunjukkan lelaki mudah 'cair' apabila dipujuk rayu
janda-janda yang sememangnya seksi dan bermati-matian memancing cinta
palsu mereka.
Ramai yang lemah apabila dengar 'Capek pak, capek bang!'
'Macam mana tak cair kalau mereka layan kita macam raja dan serah segala-galanya untuk kita ratah!
'Itu 'jam' kita lupa anak isteri, runtuh iman dan begitu bahagia!' kata
seorang lelaki yang kini menggigit jari kerana janda yang dinikahi
secara sulit, meninggalkannya sebatang kara selepas menyedut hampir
kesemua wang CPF sekitar $200,000 yang baru dikeluarkan dan belum
sempat dijamah anak isteri di Singapura. Isteri di Singapura menuntut
cerai dan anak-anak benci terhadapnya.
Masalah melencong ke Batam melibatkan isu asas - rapuhnya iman suami-suami Singapura yang berusia lewat maghrib. Mungkin juga mereka rasa tertekan apabila usia mencecah senja akibat
isteri yang dingin untuk bersama dan dek kesunyian melanda. Memang tidak banyak yang dapat warga emas lakukan selepas bersara di sini - hari-hari tengok tembok flat sendiri.
Justeru, pasangan yang telah lama berumah tangga dan bercucu cicit
perlu muasabah atau cermin-cermin diri dan isi masa terluang dengan
kegiatan dan hobi berfaedah.
Lebih baik lagi mereka jauhi Batam kerana bimbang dipaut perasaan, berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul.
Terlajak perahu di Batam masih boleh ditarik balik tetapi kalau terlajak nafsu di sana parah jawabnya.