Wednesday, October 21, 2009

Hujan Ribut Kuat Melanda Parit Jawa, 2 Maut

Parit Jawa, Muar, 21 Okt - Kejadian hujan ribut serta petir yang kuat telah melanda beberapa buah kampung di sekitar kawasan Parit Jawa Muar pada pukul 2.00  pagi tadi mengakibatkan kerosakan  beberapa buah rumah penduduk dan juga bangunan awam termasuk Sekolah.
 
Guru Besar SK Parit Jawa Muar menunjukkan sebuah rangka balai tempat meletak kenderaan yang tersangkut di atas bumbung sekolah  
Antara bangunan awam yang menerima kesan kejadian ribut tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Parit Jawa Muar, di mana beberapa keping atap bangunan sekolah telah diterbangkan angin, beberapa batang pokok di tepi kawasan sekolah telah tumbang merosakkan pagar sekolah dan sebuah tempat meletak kenderaan tersangkut di atas bumbung sekolah akibat diterbangkan oleh tiupan angin yang kuat.

 

Seorang penduduk memberitahu,hampir sebahagian atap rumahnya telah  diterbangkan angin menyebabkan rumahnya dibasahi hujan. " Sebelum ini Pekan Parit Jawa pernah dilanda angin ribut kencang yang lebih dahsyat pada tahun 50-an dahulu. Ini merupakan kejadian kali pertama sejak 60 tahun selepas  kejadian yang pertama dahulu," kata penduduk tempatan itu lagi.
Seorang lagi penduduk yang menetap di kampung Parit Samsu menceritakan pagar rumahnya mengalami kerosakan akibat dihempap beberapa batang pokok yang tumbang. Namun beliau bersyukur kerana keadaan rumahnya tidak terjejas.  
Sementara itu, dua orang pelajar Sekolah Menengah telah terkorban selepas motorsikal yang ditunggang melanggar batang pokok yang tumbang merintangi jalan raya di Jalan Mahmod Bukit Mor. Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah. Seorang lagi mangsa maut setelah dihempap dahan pokok dalam kejadian ribut itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, penunggang motosikal Modenas Kriss Muhammad Hafiz Ahmad, 16, maut di tempat kejadian manakala pemilik motosikal yang juga rakannya, Mohammad Zairi Zainal, 18, meninggal dunia ketika dalam perjalananan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).