Sunday, October 11, 2009

Muhyiddin cadang wujudkan 'hari bertenang' semasa pengundian


PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya hari pengundian pada pilihan raya akan datang dijadikan "hari bertenang".
Beliau berkata hari bertenang itu akan dijadikan satu peraturan yang bertujuan supaya pengundi berasa tenang dan tidak tergugat semasa keluar mengundi.

"Halhal pergaduhan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ini bukan soal penyokong dengan penyokong tetapi yang pentingnya pengundi. Proses undi akan berjalan lancar dan mungkin lebih ramai orang yang akan keluar mengundi," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini, beliau berkata sudah tiba masanya untuk perbincangan dibuat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan undang-undang ditegakkan semasa pilihan raya.

"Saya dapat banyak pengajaran dari banyak pilihan raya kecil... soal lalu lintas yang tidak dikawal dengan elok, peniaga kecil yang datang tidak ada lesen, menggambarkan mereka tidak langsung mengendahkan undang-undang yang sedia ada," katanya.