Thursday, April 30, 2009

TPM Turun Muo 2 Mei 09


Selamat datang TPM Malaysia yang baru! Selamat datang YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman ke daerah Muo bersejarah.

Seluruh warga Muo mengalu-alukan kesudian YAB ke bandar Muo pada 2 Mei ini ( Sabtu) . Dengar kabo lawatan YAB TPM di bawah anjuran Persatuan Perniagaan Kaum Tionghua Muo. Mula-mula YAB akan mendarat ( helikopter) di Padang Hoki Muo dan melawat Sekolah Menengah Tinggi Muo bekas sekolah tempat YAB menuntut. Kemudian akan menghadiri majlis anjuran Persatuan Perniagaan Kaum Tionghua Muo.

Cerita pasal sekolah ni, jika ada kesempatan YAB pergilah melawat sekolah-sekolah yang terletak nun jauh di kampung pedalaman tu. Lihatlah sendiri keadaan sekolah-sekolah kampung yang sudah lama terbiar dan ketinggalan dari segi pembangunan fizikalnya.

Sebagai TPM merangkap Menteri Pelajaran, molek benar sekiranya YAB melihat sendiri keadaan sekolah-sekolah tersebut. Dengan cara ini saja YAB akan mendapat maklumat yang tepat tentang keadaan sekolah di kampung. YAB boleh melawat sekolah-sekolah rendah terutamanya di kawasan Sg Balang yang kebanyakan sekolah rendah masih belum menerima bangunan baru untuk menggantikan bangunan lama yang sudah uzur dan kurang selamat digunakan oleh anak-anak kami orang kampung .

Harapan kami orang kampung semoga kemudahan frasana sekolah- sekolah di Muo terutamanya dan di kawasan pedalam seluruh negara amnya mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya daripada YAB.

Orang Kampung Nak Kemudahan Sekolah Yang Selesa

Setelah 52 tahun negara merdeka, kemajuan negara dari segi fizikalnya memang tidak boleh dinafikan. Namun masih terdapat antara kalangan warganegara yang masih belum dapat menikmati erti kemerdekaan yang sebenarnya kerana taraf hidup dan arus pembangunan yang mereka peroleh masih jauh ketinggalan berbanding dengan kawasan- kawasan bandar.

Setelah 52 tahun merdeka, masih banyak keadaan bangunan sekolah-sekolah di luar bandar dan di kawasan pedalaman kelihatan amat uzur dan begitu naif sekali. Orang kampung mahukan bangunan sekolah serta kemudahan yang terbaik buat anak-anak menuntut ilmu kerana anak-anak adalah pewaris bangsa masa depan. Kalau bangunan dan kemudahan sekolah masih lagi pada tahap zaman sebelum merdeka macam mana anak-anak kami nak jadi pandai dan bijak macam anak-anak orang bandar. Anak-anak orang kampung pun teringin nak merasa tempat belajar yang nyaman, selesa, serta lengkap dengan segala kemudahan pembelajaran.

Setelah 52 tahun merdeka, anak-anak orang kampung masih lagi menghuni sekolah yang sudah usang, malah ada yang sudah tidak selamat digunakan.

Apa yang orang kampung harapkan ialah dahulukan dan segerakanlah projek-projek pembangunan untuk pendidikan. Jangan biarkan kami menunggu begitu lama....

rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!