Saturday, December 5, 2009

Sains futuristik : Impian masa depan




Sejak dahulu, tamadun manusia berkembang memandangkan sains dan teknologi menjadi penyumbang utama kepada perubahan hidup manusia. Sains perlu datang dahulu sebelum teknologi merupakan 'kaedah' yang dicipta daripada teori sains.
Hari ini, teknologi seakan-akan menjanjikan segala-galanya kerana manusia mencipta pelbagai inovasi untuk kegunaan mereka. Pada mulanya, manusia mencipta sesuatu untuk mengatasi masalah dalam kehidupan mereka tetapi keagungan sains menjadikan segala-galanya yang diimpikan, diimaginasikan, akan muncul di depan mata.


Bayangkan, menjelang 2050, manusia bercadang mendarat di Planet Marikh untuk memulakan kehidupan di sana. Adakah impian itu suatu yang mustahil? Baru-baru ini, sebuah syarikat merancang untuk mencipta keajaiban terbaru iaitu membina hotel penginapan din angkasa lepas. Projek berbilion-bilion dolar itu menyasarkan untuk menerima pelanggan pertamanya pada 2012.


Arkitek di The Galactic Suite Space Resort yang beribu pejabat di Barcelona, Sepanyol berkata, penginapan tiga malam di hotel itu akan memakan belanja sebanyak 3 juta euro (RM15.2 juta), termasuk bayaran untuk kursus latihan selama lapan minggu di sebuah pulau tropika.
Jika ia menjadi kenyataan, pengunjung dapat melihat matahari terbit 15 kali sehari dan mengelilingi dunia setiap 80 minit. Mereka perlu memakai pakaian khas velcro yang membolehkan mereka merangkak di bilik kediaman masing-masing seperti Spiderman.


Ketua Pegawai Eksekutif Galactic Suite, Xavier Claramunt yang juga bekas jurutera aeroangkasa berkata, projek itu akan meletakkan syarikatnya sebagai peneraju industri yang baru bermula itu dengan potensi masa depan yang besar dan menjangkakan bahawa pelancongan angkasa akan menjadi satu perkara biasa di masa depan.
Ia tidak mustahil kerana pelancongan angkasa kini sedang dipromosikan termasuk membina Spaceport. Firma pelancongan angkasa milik taikun Britain, Richard Branson iaitu Virgin Atlantic akan menggunakan kemudahan itu untuk membawa penumpang ke ruang angkasa sub orbit pada harga USD200,000 (RM684,760).


Selain itu, manusia kian menghampiri cita-citanya untuk naik ke angkasa menggunakan lif. Lif ini berbentuk silinder yang diperbuat daripada karbon yang kuat, kukuh dan fleksibel.
Kejuruteraan karbon nano tiub yang merupakan sebahagian daripada nano-teknologi kini meningkatkan keupayaan dan kekuatan material dan ini dimanfaatkan dalam pembinaan lif angkasa yang dicita-citakan itu. Lif yang berfungsi sebagai kenderaan elektrik ke angkasa ini bagaimanapun masih di peringkat konsep.
Banyak aspek perlu diambil kira termasuk sama ada ia dibina secara menegak tetapi fleksibel atau boleh mengorbit bumi dan jaraknya mencecah puluhan ribu batu dari tempat permulaan lif.
Meskipun ia satu bidang masa depan bercirikan futuristik, ada laporan menyatakan, idea ini telah disebut sejak 1960. Satu lagi bidang nanoteknologi yang masih di peringkat konsep tetapi telah hangat diperkatakan ialah perubatan.
Antara applikasi nanoteknologi perubatan yang sedang dibangunkan ialah penggunaannanopartikel untuk bertindak sebagaipembawa ubat, haba dan cahaya atau sebatian lain ke mana-mana sel yang dituju dalam badan. Dengan itu, misalnyaubat pesakit kanser akan terus dihantar ke sel-sel berkenaan untuk tujuan rawatan.


Begitu juga dengan penyakit atau kerosakan dalaman, ia dapat dirawat secara terus dengan menghantar ubat ke sel –sel yang disasarkan. Jika teknologi ini menjadi kenyataan,maka kaedah pembedahan mungkin tidak lagi diperlukan dan kerosakan sel sihat mungkin dapat dielakkan.


Bayangkan, penyakit di bawah kulit yang telah dikenal pasti dapat dirawat dengan menggunakan ubat nanoteknologi dengan hanya menyapu di kulit luar dan ia meresap untuk merawat sel yang disasarkan. Sains masa hadapan menjanjikan harapan baru dan bukan lagi khayalan dengan pembinaan hotel bawah air. Kita biasa melihat kapal selam bergerak di bawah air tetapi mereka yang berada di dalamnya sedang bertugas.


Kini, manusia mahu melihat keindahan bawah air sambil bercuti bersama keluarga. Oleh itu, hotel bawah laut kini telah dibangunkan dankosnya mungkin mahal. Antara yang dibina ialah hotel mewah dengan biliknya terletak 50 kaki di bawah air.
Konsep yang dibangunkan di pulau Eleuthera, Bahamas ini seakan ingin bersaing denga Jules Undersea Lodge, satu-satunya hotel bawah laut yang dibina di Florida. Tetamu tidak perlu bimbang sama ada bilik mereka basah atau berlaku perubahan tekanan. Yang menariknya,setiap bilik dibina dengan dinding lutsinar bagi membolehkan pengunjung melihat karang yang indah di keliling mereka.


Satu lagi teknologi yang menarik untuk diperkatakan ialah identifikasi gelombang radio atau RFID. Teknologi RFID sama seperti satelit dan teknologi selular memainkan peranan penting dalan kehidupan manusia.
RFID adalah teknologi pengesan automatik berasaskan teknologi gelombang radio yang membolehkan data disimpan dalam peranti penerima yang berbentuk sangat kecil dan dapat dibaca oleh alat pengesan. Penerima atau tag RFID ini merupakan cip silikon yang dilengkapi dengan antena bertujuan untuk menerima data yang di pindahkan daripada pemancar RFID dalam bentuk gelombang atau frekuensi radio.
Teknologi ini bagaikan maklumat atau data peribadi yang disimpan untuk mengenal pasti atau mengecam individu atau produk termasuk haiwan. Bayangkan satu cip dimasukkan dibawah kulit haiwan sebagai pengenalan dirinya untuk memudahkan tuan punya haiwan mengesahkan ia kepunyaannya.


Begitu juga barangan yang dijual di pasar raya, semua maklumat mengenainya diletakkan pada cip dan dibaca di kaunter pembayaran. Ada banyak lagi applikasi RFID dan ia seakan bersaing dengan teknologi biometrik yang mana anda dapat dicam berdasarkan organ peribadi termasuk retina mata, suara dan juga DNA.
Teknologi ini antara yang dibayangkan manusia dan ini selain banyak teknologi baru sedang dikembangkan termasuk pengklonan, berkaitan tenaga, kapal angkasa dan pesawat pengintip tanpa pemandu yang bersaiz mikron.
Oleh LAUPA JUNUS

No comments: