Sunday, November 1, 2009

Kajian: Kunyit boleh bunuh sel barah kerongkong


LONDON: Satu molekul yang dijumpai dalam kari didapati mampu membunuh sel barah esofagus (kerongkong) di dalam satu ujian makmal. Ini sekali gus memberi pembayang bahawa molekul itu mungkin berpotensi dibangunkan sebagai rawatan antibarah.
Penyelidik di Pusat Penyelidikan Barah Cork di Ireland, berjaya merawat sel barah kerongkong dengan menggunakan curcumin (kunyit) iaitu bahan kimia dalam kari yang memberikan warna kuning dan mendapati ia mula membunuh sel kanser dalam masa 24 jam.

Kajian yang disiarkan dalam British Journal of Cancer itu juga menyatakan bahawa sel-sel barah tersebut juga mula terhadam sendiri. Penyelidikan saintifik sebelum ini mengakui kunyit mampu mengawal tumor dan mereka yang memakan banyak kari kurang berisiko terhadap penyakit itu.
Ini meskipun kunyit dikatakan akan kehilangan ciri-ciri antibarah sebaik dimakan.Namun, Cik Sharon McKenna yang mengetuai kajian itu berkata terdapat potensi untuk menjadikan kunyit sebagai ubat antibarah bagi merawat barah kerongkong.

Barah kerongkong membunuh 500,000 orang di seluruh dunia setiap tahun.Tumor yang tumbuh sangat mengancam nyawa dengan kadar peluang pesakit untuk hidup selama lagi lima tahun ialah antara 12 dengan 31 peratus.
Menurut Cik McKenna, kajian menunjukkan kunyit menyebabkan sel barah mati 'dengan menggunakan sistem mesej sel yang tidak dijangka'.

Pada 2007, penyelidik Amerika Syarikat mengumumkan mereka mendapati kunyit mampu merangsang sistem imunisasi sel dalam penyakit angin ahmar. -- Reuters.

No comments: