Sunday, November 1, 2009

Jumlah Melayu Hijrah ke Australia Meningkat

Oleh Hisham Hasim dan Linilidia Abdul Hamid 
SINGAPURA-BILANGAN penduduk Melayu Singapura yang berhijrah ke Australia telah menunjukkan trend meningkat, dengan suasana yang menjanjikan kehidupan lebih tenang dan lebih baik di negara kanggaru itu merangsang mereka berpindah ke sana.
Tinjauan Berita Harian (BH) dengan beberapa agensi penghijrahan dan badan-badan Melayu di Australia mendapati trend itu mula meningkat beberapa tahun lalu.
Konsultan penghijrahan syarikat Ntrust, Encik Philip Sim, berkata pihaknya mendapati orang Melayu Singapura merangkumi 30 peratus daripada 'ratusan penduduk Singapura' yang memohon dengan syarikatnya untuk berhijrah ke Australia.
Sekitar 90 peratus keseluruhan pemohon Melayu itu terdiri daripada golongan karyawan - jurutera, pakar teknologi maklumat dan komputer, akauntan, guru dan dari sektor jagaan kesihatan, katanya.
Ramai penduduk Melayu itu ingin berhijrah ke bandar-bandar popular dengan orang Melayu seperti Perth, Melbourne dan Brisbane.

Faktor mengapa mereka ingin berbuat demikian termasuk jarak antara Australia dengan Singapura yang dekat, gaya hidup di sana yang disifatkan lebih santai selain terdapat ramai masyarakat Melayu yang menetap di sana.
Pendidikan di Australia yang dikatakan kurang tekanan juga antara faktor penting, kata Pengarah Urusan Graham-Nguyen & Associates Pte Ltd, Encik Andrew Graham.
'Mereka inginkan satu perubahan gaya hidup, baik dalam pertukaran kerjaya mahupun mutu kehidupan. Tapi harus diingat penghijrahan bukan sesuatu yang boleh dilakukan semua orang.

'Ada yang mendapatinya sukar kerana perubahan kerjaya, berjauhan dengan keluarga dan tidak serasi dengan iklim,' katanya sambil menambah pemohon perlu memenuhi pelbagai kriteria penghijrahan sebelum boleh berhijrah ke Australia.
Pada Jun lalu, akhbar ini melaporkan langkah ratusan keluarga Melayu Singapura yang tidak dapat berhijrah ke Australia kerana gagal mendapatkan visa penduduk tetap (PR) negara itu.
Jabatan imigresen dan kerakyatan Australia berkata seramai 1,204 rakyat Singapura telah menjadi PR Australia tahun lalu, berbanding 1,153 pada 2007.
Tetapi pemerintah negara itu telah mengurangkan had kemasukan warga asing kepada 108,100 orang tahun ini, berbanding 133,500 tahun lalu memandangkan ekonomi kurang rancak.

Sebelum ini pemerintah Singapura juga pernah mendedahkan bahawa sejak tiga tahun lalu, secara purata 1,000 warga Singapura melepaskan kerakyatan mereka dengan berhijrah ke negara lain setiap tahun, kebanyakannya mengambil kerakyatan di negara-negara Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan Australia.

Bertambahnya bilangan keluarga Melayu Singapura berhijrah ke negara kanggaru itu turut diakui Presiden Khairat Melayu/Islam Victoria (KMIV), Haji Salem Salikin.
Menurutnya, ketika beliau berhijrah ke Australia pada 1990, jumlah keluarga Melayu Singapura tidak sampai 100, tetapi kini meningkat kepada 300 keluarga.
'Ini baru jumlah di wilayah Victoria. Saya pasti jumlah mereka di bahagian lain Australia turut bertambah,' katanya.

Presiden Persatuan Brisbane Melayu Singapura, Cik Rosemalina Abdul Ghani, 30 tahun, pula berkata bilangan Melayu Singapura yang berada di Brisbane meningkat sejak beliau tiba di sana tahun lalu.
'Semasa badan ini mula ditubuhkan, kami ada sekitar empat anggota saja, tapi kini jumlahnya meningkat sehingga 40 anggota,' ujar beliau, yang kini melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda dalam Sains Gunaan.
Beliau menubuhkan persatuan itu Mac lalu.
Bekas aktivis masyarakat Melayu Singapura, Encik Ramli Puteh, pula menganggarkan sekitar 300 keluarga Melayu atau 1,200 penduduk Melayu asal Singapura kini menetap di beberapa kejiranan di Melbourne, seperti Hampton Park, Wallan, Broadmeadows dan Werribee.
Encik Ramli sedang mengikuti pengajian doktor falsafah di Universiti Teknologi Swinburne, Melbourne.

Presiden Persatuan Melayu Western Australia (MAWA), Encik Kamaruddin Abdul Rahman, 62 tahun, pula menganggarkan jumlah penduduk berbangsa Melayu dari rantau Nusantara di Perth sekitar 20,000 orang.
Beliau, yang berasal dari Singapura dan sudah menetap di Perth sejak 1985, berkata:
'Masa saya mula-mula datang ke sini, jumlah penduduk Melayu di Perth mungkin sekitar 3,000 orang sahaja. Tapi kini jumlahnya saya anggarkan dalam 20,000 orang dan peningkatan itu lebih ketara dalam 10 tahun kebelakangan ini,' ujarnya.

No comments: