Thursday, July 23, 2009

Bapa Kartika reda dengan hukuman Mahkamah Syariah


KARTIKA SARI DEWI mengesat air mata pada sidang akhbar di Ipoh semalam yang turut dihadiri oleh anaknya dan bapanya, Shukarnor.

IPOH - Biasanya seseorang pesalah itu sedaya upaya mahu menangguhkan atau mengelak daripada menerima hukuman, tetapi lain pula halnya dengan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Wanita berusia 32 tahun yang dijatuhi hukuman enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang Isnin lalu atas kesalahan meminum arak di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating meminta ia dilaksanakan secepat mungkin.

"Hukuman dunia saya akan terima, hukuman di akhirat biar Allah tentukan.

"Ia bukan sahaja memalukan saya tetapi menghina seluruh keluarga.

"Saya harap hukuman dapat dijalankan secepat mungkin agar memberi pengajaran kepada orang lain,'' katanya dengan linangan air mata pada sidang akhbar di Yayasan Perak di sini semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib, 60, dan anak bongsunya yang berusia lima tahun.

Biarpun ada pihak mempertikaikan hukuman tersebut, Kartika pula pasrah dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah.

"Tiada siapa paksa (meminum arak), saya rela dengan hukuman sebat yang dijatuhkan,'' katanya.

Anak kelahiran Sungai Siput yang menetap selama 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan rakyat republik itu didapati bersalah meminum arak kira-kira dua tahun lalu di sebuah pusat peranginan di Pahang.

Kartika yang juga ibu kepada dua orang anak telah dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus itu mengikut Seksyen Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Kartika juga sempat berpesan kepada umat Islam khususnya generasi muda supaya jangan mencontohi kesilapannya dengan melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan aib kepada diri sendiri serta ahli keluarga.

Shukarnor pula menyifatkan hukuman ke atas anaknya itu wajar dan tepat mengikut undang-undang Islam.

Beliau juga mengakui itu adalah kecuaian anaknya sendiri yang sebelum ini telah diberi pendidikan agama termasuk pengajian sekolah pondok.

No comments: