Friday, May 22, 2009

Malaysia - Singapura setuju bina jambatan ketiga

SINGAPURA: Malaysia telah mencadangkan kepada Singapura bahawa sebuah jambatan baru dibina bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke negara pulau itu.

Jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara keduadua negara, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari

Singapura Lee Hsien Loong di sini hari ini.Najib, yang berada di sini sejak semalam bagi lawatan rasmi dua hari ke republik ini, berkata jambatan baru itu juga akan membantu membangunkan bahagian timur Johor seperti di kawasan di Pengerang, termasuk Desaru, yang masih kurang membangun tetapi mempunyai potensi ekonomi yang besar.

Beliau berkata jalan penghubung sedia ada seperti Tambak Johor, sudah mempunyai jumlah trafik yang banyak dan telah menjejaskan kelancaran pergerakan orang ramai dan barangan antara keduadua negara berjiran.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meneliti cadangan itu daripada segi jangka sederhana dan jangka panjang dan juga bersetuju untuk menjalankan kajian terhadap daya maju jambatan itu, kata Najib dan menurutnya cadangan jambatan baru itu merupakan satu daripada hasil mesyuarat dua hala mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Singapura. BERNAMA


NAJIB diberi penerangan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Pusat Pentadbiran Kota Iskandar, Nusajaya semalam. sazimi.mustapha@kosmo.com.my

Thursday, May 21, 2009

Yusuf Islam Bantu Pengislaman Idris

( by SuHaIb IsMaiL.blogspot.com )Thursday, May 7, 2009 at 12:14 AM


TAHUKAH anda, kedua-dua ayat surah al-Maidah itu membuka pintu hati seorang paderi Gereja Katholik Roman di Britain memeluk Islam!

Bekas paderi itu, Idris Tawfik pada mulanya sekadar membaca makna ayat kalam suci al-Quran itu di hadapan anak-anak muridnya ketika bertugas sebagai Ketua Pengajian Agama-agama di beberapa buah sekolah di England dan Wales.

"Tetapi pada suatu hari, saya seolah-olah disedarkan oleh ayat-ayat di atas ditujukan kepada saya. Bahawa tidak ada bezanya kerana saya merupakan pendita dan ahli ibadat (Nasrani) seperti yang disebut dalam ayat itu.

"Sejak itu saya sering tertanya-tanya, adakah saya orangnya yang Allah maksudkan untuk akhirnya mengakui mengenai kebenaran al-Quran dan menerima kerasulan Nabi Muhammad?," ujarnya.


Seusai memeluk Islam, Idris akui tidak menyesal mengenang masa silamnya yang pernah menjadi orang kepercayaan kuat gereja. Termasuk menghabiskan lima tahun masa pengajian beliau di Vatican City semata-mata untuk menjadi seorang paderi yang berwibawa.

"Untuk tempoh beberapa tahun, saya gembira menjadi paderi terutama menolong mereka yang memerlukan bantuan. Namun jauh di sudut hati, saya tidak dapat menipu diri sendiri apabila akhirnya saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena yang begitu menganggu hati dan perasaan saya," katanya.

Semuanya bermula apabila Idris memutuskan untuk tidak lagi bertugas di Vatican atas alasan, hatinya begitu tertarik melawat Mesir.

"Sebelum ini saya sering menganggap Mesir hanyalah sebagai negara yang sinonim dengan monumen ajaib iaitu piramid-piramid, unta-unta, padang pasir dan pohon-pohon palma.

"Tetapi sebaik tiba di Kaherah, pertama kali saya mengenali Islam di sini dengan lebih jelas. Saya dapati penduduk Islam Mesir mempunyai hati yang lembut, baik hati serta mempunyai hati dan semangat yang kuat," kata Idris.

Sebelum ini seperti rakyat Britain yang lain, Idris juga mengenali Islam sebagaimana yang mereka ikuti daripada laporan media. Terutama televisyen yang hanya menyiarkan mengenai serangan bom dan lain-lain tindakan ganas yang kononnya mempunyai kaitan dengan pejuang dan ajaran Islam.

Tertarik dengan Mesir

"Tetapi apabila saya berada di Mesir, saya mendapati agama ini sungguh cantik. Saya amat tertarik melihat para peniaga yang memenuhi jalan-jalan meninggalkan barang jualan mereka begitu sahaja untuk berhenti, mengadap Allah dan menunaikan solat sejurus mereka mendengar azan dilaungkan dari puncak-puncak menara masjid.

"Cara mereka segera menunaikan solat itu seolah-olah bukan sahaja kerana percaya mengenai kewujudan Allah, malah mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Tuhan," katanya.

Sekembali dari Mesir, Idris menyambung tugasnya sebagai guru Pengajian Agama-Agama, iaitu perbandingan ajaran mengenai Kristian, Islam, Yahudi, Buddha dan pelbagai agama lagi.

"Setiap hari saya mesti membaca mengenai agama-agama ini bagi membolehkan saya mengajar dengan baik terutama kepada anak-anak murid yang kebanyakannya terdiri dari anak pelarian dari negara-negara Islam.

"Berbanding anak murid dan remaja-remaja lain, saya dapati anak-anak pelarian ini berbeza kerana mempunyai sahsiah diri yang baik, sopan dan berbudi bahasa. Hasilnya, mampu menjadi seperti sahabat yang baik dan saya tidak bermasalah apabila mereka meminta kebenaran menggunakan kelas saya bagi mendirikan sembahyang terutamanya pada bulan Ramadan," kata Idris.

Ketika mereka mendirikan ibadat itulah, Idris tertarik melihat setiap kali mereka solat. Kadang kala beliau ikut berpuasa Ramadan walaupun ketika itu Idris masih lagi Kristian.

"Dan pada peringkat saya membaca petikan daripada ayat 83 surah al-Maidah yang bermaksud, Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran).

"Tidak semena-mena hati saya begitu sayu oleh makna ayat itu. Saya tidak mampu menahan air mata yang gugur walaupun berusaha untuk melindungnya daripada dilihat oleh anak murid," katanya.

Detik perubahan yang besar dalam hidup bekas paderi ini berlaku selepas serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

"Ketika itu seluruh warga Barat terus menuding jari kepada Islam yang menjadi punca serangan dan menyebabkan kematian ribuan penduduk awam tetapi saya berpendapat sebaliknya.

"Mengapa Islam hendak dipersalahkan sedangkan terdapat juga keganasan yang dianjurkan oleh orang Kristian dan mengapa mereka tidak dipersalahkan.

"Sebabnya, Islam yang saya kenali dan saya lalui bersama dengan penganut agama itu sebelum ini menunjukkan agama itu sangat menentang keganasan dan pembunuhan sesama manusia," katanya.

Ini menyebabkan Idris makin serius memikirkan mengenai Islam yang membawa beliau akhirnya menjejakkan kaki ke masjid terbesar di kota London, London Central Mosque bagi mencari jawapan yang pasti.

Ketika beliau sampai di masjid itu, kelihatan bekas penyanyi popular era 70-an, Cat Steven atau Yusuf Islam berada dalam satu kelompok yang terdiri daripada beberapa orang lelaki dan mereka seperti sedang membincangkan mengenai Islam.

Tanpa membuang masa, beliau terus bertanya Yusuf: "Apa yang perlu saya lakukan untuk menjadi seorang Islam?"

Yusuf menjawab seseorang itu hendaklah mempercayai kepada Tuhan Yang Satu, mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan...

Belum sempat Yusuf memberi penjelasan, Idris terus memotong kata-kata Yusuf dengan berkata: "Saya percaya kesemua itu, malah saya pernah berpuasa di bulan Ramadan."

"Jadi apa yang awak tunggu lagi, apa yang menahan awak memeluk Islam setelah anda telah mengenali dan mengakui kebenaran Islam?" tanya Yusuf.

"Saya masih belum mempunyai niat yang kuat untuk memeluk Islam," jawab Idris.

Namun perbualan mereka terhenti di situ apabila azan berkumandang menandakan waktu solat.

Sejurus mereka selesai solat dengan menoleh ke kiri dan kanan memberi salam, Idris terus menerpa Yusuf dan meminta beliau membimbingnya melafazkan syahadah.

Alhamdulillah dengan bantuan Yusuf, bekas paderi ini tunduk dan sujud kepada Islam dengan para jemaah dan Masjid Central London menjadi saksi pengislaman Idris.

Sambil bergenang air mata, Idris mengucapkan syukur atas limpah hidayah yang telah dikurniakan oleh Allah. Kini beliau meyakini sepenuhnya Allah tidak pernah mendustai dan ternyata di sebalik ayat dari surah al-Maidah tidak sahaja benar kerana ternyata ayat itu begitu memberikan kesan langsung kepada dirinya.

Dari aspek pendidikan, Idris adalah pemegang Ijazah Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Manchester, Ijazah dalam Sacred Theology dari Universiti Pontifical of Saint Thomas Aquinas di Rom yang melayakkan beliau bertugas sebagai guru Bahasa dan Paderi sebelum memeluk Islam.

Lebih banyak lagi mengenai Idris dapat anda kenali dan ketahui dengan melayari http:www.idristawfiq.com.

Monday, May 18, 2009

Selamat Hari Guru :Guru Bukan Siswazah Tak Terbela

KUANTAN - Nasib guru bukan siswazah dan lepasan diploma didakwa masih belum terbela berikutan tekanan daripada keadaan dan cabaran ekonomi negara pada hari ini.

Justeru Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) meminta kerajaan segera menyelesaikan tuntutan kebajikan yang telah dikemukakan agar guru kategori berkenaan lebih bersemangat menjalankan tugas terutama di pedalaman dan luar bandar.

"Saya masih menaruh harapan agar kerajaan dapat menyelesaikan tuntutan ini yang melibatkan perubahan skim dan insentif perkhidmatan," kata Presiden KGGMMB, Mohamed Sabri Mohd. Arsad kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar kelmarin bahawa kerajaan meluluskan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah berkuat kuasa serta- merta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan untuk mewujudkan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah sempena sambutan Hari Guru 2009 peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Mohamed Sabri berkata: "Nasib 80 peratus guru bukan siswazah dan lepasan diploma khususnya yang sudah memasuki perkhidmatan yang cukup lama dan mencapai status gaji hakiki masih tidak dibela dan dipinggirkan.

( Sumber :Kosmo )

Sunday, May 17, 2009

Sukan Tahunan PASTI Kawasan Muar Hebat

Muar, 17 Mei - Sukan Tahunan PASTI Kawasan Muar telah dilangsungkan di Padang Luar Stadium Muar bermula pada pukul 8.00 pagi tadi. Kejohanan sukan tahunan ini merupakan antara aktiviti kokurikulum PASTI yang sering diadakan pada setiap tahun.

Pelancaran dan perasmian Sukan Tahunan ini telah disempurnakan oleh YB Dr Hj Mohammad Bin Taslim, ADUN Maharani. Antara ucapan beliau ialah semoga aktiviti ini dapat memberi peluang kepada semua murid PASTI bergiat cergas dalam bidang Kokurikulum selain mencungkil dan mengasah bakat murid-murid bermula dari peringkat awal lagi. Acara-acara yang dipertandingkan ialah Bola Sepak 7 sebelah, Bolang Jaring dan Olahraga mini.


[Upacara perbarisan lintas hormat oleh anak-anak PASTI]

Antara pasukan yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah daripada pasukan PASTI Ar-Rahmah, PASTI Al-Aziz, PASTI Umiza, PASTI An-Nur, PASTI At-TAufiqiah, PASTI Al-Amaliyah, PASTI Al-alah & Takwa, dan PASTI Al-Huda&Mudzhirun.

Kejohanan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa dan juga daripada penduduk sekitar daerah Muar.

" Kejohanan ini diadakan adalah untuk memilih peserta-peserta bagi mewakili daerah Muar ke Kejohaan Sukan Tahunan peringkat negeri Johor yang akan diadakan pada 31 Mei di Johor Bahru. Manakala peringkat Pusat pula akan dijalankan pada bulan Jun nanti di UNISEL, Selangor," kata En Rahmat, Pengerusi PASTI Ar Rahmah Taman Sri Temenggong.

Menurut kata Setiausaha PASTI Kawasan Muar, En Hamidon Omar, Program seumpama ini diharap dapat mengukuhkan lagi ukhwah antara warga PASTI dengan orang ramai serta penduduk setempat sekitar sekolah PASTI di kawasan masing-masing. Sebagai contoh, aktiviti sukan ini telah mendapat perhatian dan sokongan padu daripada keluarga anak-anak PASTI,serta penduduk-penduduk setempat. Selain guru-guru PASTI, merekalah yang mengurus, melaksanakan dan menjadi pegawai pertandingan ini sehingga selesai dengan dibantu oleh Unit Amal Malaysia .- orang muo

YB sedang bersarapan pagi.... makan nasi bungkus... santai....

Johan Bola Jaring dimiliki oleh pasukan PASTI Ar- Rahmah Tmn Sri Temenggong

Lagi... foto-foto menarik (slideshow} kejohanan Sukan Tahunan PASTI Cawangan Muar 2009
Visit www.moblyng.com to make your own!

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru : Elaun Tanggungjawab (ETJ) GPK RM 2 Sehari

16 Mei merupakan tarikh keramat bagi setiap warga guru seluruh negara . Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah " GURU PEMBINA NEGARA BANGSA "

Mengikut sumber daripada rakan guru, sambutan Hari Guru pada tahun ini di seluruh negeri Johor akan diadakan pada 18 Mei ( Isnin ) kerana 16 Mei jatuh pada hari Sabtu. Sambutan Hari Guru tidak akan bererti jika tiada murid- murid bersama-sama menyambutnya.

Sempena sambutan Hari Guru ini, Penulis ingin mengutarakan khusus tentang imbuhan yang diterima oleh Guru-Guru Besar dan Guru Penolong Kanan DGA 32 yang selama ini hanya mendapat imbuhan elaun tanggungjawab (ETJ) RM 2 sahaja sehari berbanding dengan beban tugas dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul setiap hari, sebulan dapatlah RM60. 00. ( ETJ Guru Besar RM 100 sebulan? )

Sebagai sebuah negara yang sudah dianggap lebik baik kedudukan ekonominya berbanding dengan sesetengah negara di Asia Tenggara, jumlah ETJ untuk Guru Besar dan GPK yang ada sekarang sangatlah tidak sesuai apatah lagi bebanan tugasan yang sememangnya berat . Dalam perjawatan perguruan, beza antara guru biasa dengan GB dan GPK hanyalah ETJ yang mereka peroleh, sedangkan tangga gaji mereka tetap sama seperti guru-guru lain.

" Maka sebab itulah ramai guru yang berkelayakan menolak jawatan GPK yang ditawarkan kerana insentif yang diterima tidak sepadan dengan tanggungjawab dan tugasan seharian. Jika nasib tidak baik, mereka akan ditugaskan di sekolah yang jauh di luar daerah memandangkan kekosongan jawatan yang amat terhad. Mereka terpaksa berkorban tinggalkan anak dan isteri, setiap minggu kena balik jenguk keluarga, kos minyak kereta belum kira lagi," kata seorang guru di sini.

Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini warga GB dan GPK amat berharap Menteri Pelajaran Malaysia yang baru, YAB Tan Seri Muhyidin Mohd Yassin, dapat menjanjikan sesuatu yang bermakna untuk mereka sebagai pembakar semangat supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik, bertanggungjawab dan sedia berkhidmat demi membina bangsa maju dan berakhlak. Pihak kementerian dan kerajaan seharusnya menilai semula elaun tanggungjawab guru-guru ini sesuai dengan arus perubahan sistem pendidikan yang semakin kompleks.

Walaupun penulis hanyalah orang kampung namun kita memahami perasaan mereka Guru besar dan GPK kerana setiap hari kita berhubung dengan sekolah. Orang kampung amat memahami pengorbanan para guru. Justeru pihak yang berkenaan juga harus lebih memahaminya.
" SELAMAT HARI GURU " " GURU PEMBINA NEGARA BANGSA "

Tuesday, May 5, 2009

Berita Kurang Baik Untuk Pelajar UKM

Yuran kolej UKM naik


KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bimbang dengan nasib mereka apabila pihak pengurusan kolej di universiti itu berhasrat untuk menaikkan yuran asrama daripada RM490 kepada RM600 bagi setiap semester bermula sesi depan.

Kenaikan yuran tersebut kini menjadi perbualan hangat di kalangan pelajar kerana mereka sudah dibebani dengan kenaikan yuran pengajian sejak tahun lalu.

Malah, kesan kenaikan yuran asrama itu akan turut dirasai oleh 4,000 hingga 5,000 pelajar baru yang dijangka memulakan pengajian mereka tidak lama lagi.

Kosmo! difahamkan, kenaikan yuran asrama itu melibatkan lapan buah kolej kediaman iaitu Kolej Ibrahim Yaakub, Datuk Onn, Aminuddin Baki, Ungku Omar, Burhanuddin Helmi, Rahim Kajai, Ibu Zain, Idris Al Marbawi, Tun Syed Nasir, Tun Dr. Ismail dan Tun Hussein Onn.

Bagaimanapun, pelajar yang menginap di dua buah kolej lagi iaitu Kolej Za'ba dan Keris Mas bakal menikmati penurunan yuran sebanyak RM90 ekoran penyelarasan yuran yang dilaksanakan oleh UKM.

Salah seorang pelajar fakulti undang-undang universiti itu yang cuma mahu dikenali sebagai Munirah mempersoalkan kenaikan yuran tersebut kerana mutu perkhidmatan yang disediakan kepada pelajar masih rendah.

"Kalau dilihat dari segi keselamatan, keselesaan, kemudahan Internet masih lagi mengecewakan pelajar di sini. Kalau nak naikkan yuran pun kena pastikan semua itu dipenuhi dahulu baru pelajar tidak akan mempersoalkan kenaikan ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, kesan kenaikan yuran pengajian pada tahun lalu masih lagi dirasai oleh kebanyakan pelajar dan ditambah lagi dengan bebanan baru ini menyebabkan ramai pelajar merungut.

"Tahun lepas pelajar baru kena bayar yuran pengajian sebanyak RM750 untuk satu semester berbanding sebelum ini cuma RM550. Sekarang nak naik lagi, saya yakin ramai yang akan pening kepada," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang cuma ingin dikenali sebagai Faizal meminta pihak pengurusan universiti mempertimbangkan semula kenaikan tersebut ekoran kemelesetan ekonomi dunia yang turut melanda negara ini.

"Saya merayu kepada pihak universiti pertimbangkan keputusan yang bakal dilaksanakan itu. Kalau boleh kami juga ingin tahu perincian sebenar yuran yang dibayar pada setiap semester supaya ada ketelusan di antara pelajar dan pihak pengurusan universiti,'' katanya.

( Apalah nasib orang kampung yang sememangnya tak lekang daripada masalah kehidupan seharian. Hari ini ada pula berita yang menyentap perasaan orang kampung tentang yuran kolej akan dinaikkan. Harus diingat ramai anak-anak orang kampung yang sedang menuntut di IPTA. Menteri yang berkenaan seharusnya prihatin dengan perkara-perkara seperti ini supaya orang kampung tidak rasa jauh hati dengan kerajaan sekarang. Orang kampung sekarang sudah bijak. Mereka sudah celik IT lagi)